mutakhir

'Mudahkan pembinaan infrastruktur digital untuk rakyat'

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Pihak bertanggungjawab digesa memudah cara perancangan dan pembinaan infrastruktur digital, terutama di peringkat negeri dan kerajaan tempatan, bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi kepada rakyat.

Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-36, pagi tadi.

Pada kenyataan di Fecebooknya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan pandemik Covid-19 menyaksikan kebergantungan yang tinggi kepada liputan jalur lebar berkualiti tinggi.

Pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas itu, Perdana Menteri memperingatkan ahli mesyuarat dan agensi supaya memberi komitmen penuh ke atas kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut beliau, ia bagi memastikan penduduk berkaitan mendapat bantuan barangan keperluan yang mencukupi.

Beliau turut mengarahkan supaya dipertingkatkan kawalan serta keupayaan tindakan kesihatan awam di Sabah bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dengan segera.

Pada masa sama, petang tadi, Muhyiddin menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkmenistan TYT Gurbanguly Berdumuhamedov dan berbincang mengenai kerjasama dua hala yang sudah terjalin sejak 28 tahun lalu.

Petronas sudah bertapak di negara itu sejak 1996 dan ia adalah pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan mencecah AS$11 bilion (RM45.8 bilion).

Perdana Menteri menyambut baik jemputan Presiden Berdumuhamedov untuk melawat negara itu dan turut menjemput beliau melawat Malaysia selepas situasi Covid-19 pulih.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 9:30pm
d