mutakhir

Rapid KL ubah laluan bas di Plaza Hentian Kajang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Semua perkhidmatan bas kendalian Rapid KL membabitkan laluan ke Plaza Hentian Kajang diubah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di perhentian berkenaan, bermula esok.

Rapid KL menerusi kenyataan hari ini, berkata ia membabitkan perkhidmatan bas Rapid KL laluan 450, bas Smart Selangor bagi laluan KJ01 dan KJ04 serta laluan bas perantara MRT T464.

"Bagi Rapid KL 450 dari Hab Lebuh Pudu akan berakhir di Stesen MRT Kajang. Penumpang boleh naik atau turun di stesen itu dan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan alternatif.

"Manakala bagi Smart Selangor KJ01 ke Bandar Kajang dan KJ04 ke Presint 3, Putrajaya pula akan dialihkan dan memulakan operasi dari Stesen MRT Stadium Kajang.

"Perkhidmatan bas perantara MRT T464 dari Teras Jernang ke Stesen MRT Kajang tidak akan memasuki Plaza Hentian Kajang," menurut kenyataan itu.

Rapid KL mengingatkan penumpang untuk sentiasa menjaga kebersihan, memakai pelitup muka dan mengamalkan kawalan kendiri.

Katanya, Rapid KL turut mengambil pelbagai langkah mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 termasuk disinfeksi dalaman bas sebaik tamat perkhidmatan, penjejakan kontak menggunakan kod pengimbas QR dan saringan kesihatan kapten bas sebelum memulakan tugas.

Terdahulu, Plaza Hentian Kajang di Selangor dikenakan PKPD bermula 28 Oktober hingga 10 November ini.

Ia diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas sidang media khas hari ini yang mendengar pembentangan berhubung situasi semasa Covid-19 mengenai peningkatan kes di plaza berkenaan.

Turut dikenakan PKPD adalah Flat Sungai Emas (Jalan Sungai Emas 31 dan Jalan Sungai Emas 32) di daerah Kuala Langat, Selangor dan Kampung Haji Baki di Kuching, Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 9:59pm
    d