mutakhir

Budak lemas terjatuh tali air

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam tali air di Taman Bator Harmoni, Kampung Seneng, Jelawat, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.20 petang, mangsa Muhammad Danish Aidil Mohd Hasrol, berusia enam tahun dipercayai bermain bersama dua rakan sebaya di kawasan berhampiran tali air di taman perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, orang awam yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Gunung, namun disahkan meninggal dunia.

"Pihak klinik memaklumkan kejadian pada 4.15 petang dan mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

"Setakat ini laporan awal memaklumkan kanak-kanak itu bermain berhampiran tali air bersama dua rakan sebayanya sebelum terjatuh," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, setakat ini kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 10:32pm
d