mutakhir

Remaja maut bertembung MPV polis

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Remaja maut dalam kemalangan tengah malam tadi selepas motosikal yang diboncengnya dilanggar sebuah kereta peronda (MPV) polis.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam di Kampung Telaga Bata, di sini, mangsa berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian, anggotanya dalam tugas membuat rondaan dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor.

"Apabila tiba di lokasi, sebuah motosikal Honda Wave yang ditunggang dua lelaki keluar dari lorong sebelah kanan iaitu dari Kampung Telaga Bata dan masuk ke laluan MPV untuk ke Kampung Nechang.

"Pemandu MPV menekan brek namun tiba-tiba penunggang berpatah balik ke sebelah kanan jalan menyebabkan MPV mengelak ke kiri namun tetap terlanggar motosikal berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

Katanya, penunggang motosikal yang berusia 17 tahun yang juga pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah agama di sini cedera di kepala serta luka di beberapa anggota badan lain dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 1:05pm
d