mutakhir

44 polis di Selangor jalani kuarantin kendiri [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Seramai 44 anggota dan pegawai polis yang bertugas di Selangor menjalani kuarantin kendiri sebagai langkah berjaga-jaga selepas terdedah dengan individu yang didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, setakat ini, seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan isteri kepada anggota di IPD Kajang disahkan positif virus berkenaan.

"Dulu pernah berlaku di Balai Polis Pandamaran, Klang apabila 33 anggota didapati positif Covid-19.

"Jadi, kita menutup operasi di balai itu dan meminta mereka yang nak berurusan pergi balai berhampiran untuk menangani isu berbangkit.

"Berdasarkan perkembangan ketika ini, tiada keperluan untuk tutup IPD dan balai seperti dilakukan sebelum ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang di IPD Serdang, hari ini.

Mengulas mengenai kekuatan keanggotaan polis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Selangor, Noor Azam berkata, pihaknya akan mengerahkan seramai 60 anggota bagi setiap syif bagi memantau kawasan berkenaan.

"Kita sentiasa bersiap siaga dalam apa jua situasi seperti PKPD dan kami sudah menggerakkan semua kekuatan sedia ada di Selangor di kawasan terbabit.

"Malah, kita juga menerima bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu penugasan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 3:13pm
    d