mutakhir

Empat direman lari dari polis

Oleh BERNAMA

Ipoh: Empat lelaki termasuk seorang yang ditahan selepas polis melepaskan tembakan mengenai tayar kereta dipandunya ketika cuba meloloskan diri dalam kejadian di Salak Baru, Sungai Siput semalam, direman selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40-an terbabit dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput pagi hari ini.

"Mereka direman hingga Selasa depan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah, selepas dia cuba melarikan diri daripada polis yang melakukan serbuan terhadap sebuah rumah di Salak Baru pada 12.30 tengah hari.

Tembakan itu dilepaskan anggota polis bagi mempertahankan diri selepas lelaki itu bertindak agresif mahu melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu.

Dalam serbuan itu, polis turut memberkas tiga lagi lelaki di dalam rumah berkenaan selain merampas dadah disyaki heroin seberat 29.1 gram bernilai RM1,500 daripada mereka.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 4:01pm
d