mutakhir

Warga emas mandi sungai dikhuatiri lemas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Warga emas lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di sebatang sungai dekat Gua Ikan, Kaki Bukit di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 7 pagi itu, Lee Ah Kau, 71, disedari keluar dari rumahnya oleh ahli keluarga selepas motosikal miliknya didapati tiada di rumah.

Anak perempuan mangsa, Lee Ming Hui, 48, tahun berkata, bapanya itu disedari ke sungai terbabit selepas dia keluar mencari di sekitar pekan Kaki Bukit dan rumah kenalan bapanya.

"Selepas tiba di kawasan sungai, saya terlihat motosikal bapa yang parkir di tepi sungai bersama pakaiannya.

"Saya syak dia mungkin berada di dalam sungai, saya khuatir dia pengsan ketika mandi kerana bapa saya mempunyai masalah jantung, kencing manis dan darah tinggi," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Mohd Firdaus Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan mangsa pada 9 pagi.

"Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar dan BBP Kangar dikerahkan ke lokasi bagi mencari mangsa.

"Setakat ini, kita masih belum mempunyai sebarang petunjuk dan radius menyelamat kini sudah dibesarkan ke sekitar lima ke 10 kilometer.

"Kawasan sungai tidak besar tetapi cabaran arus deras menyukarkan misi mencari, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk menemui mangsa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin mangsa akan ditemui di sekitar kawasan terbabit kerana sungai terbabit agak kecil dan tidak berhubung ke sungai lain.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 5:09pm
d