mutakhir

Maut dihempap jentera terbabas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Lelaki maut selepas dihempap jentera penggelek yang sedang dikendalikannya di Kampung Paya Ketiau, Padang Serai dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, Mohd Riduan Mohd Ali, 33, dipercayai sedang memandu jentera itu sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit berair.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakannya sedang melakukan kerja menurap jalan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, jentera itu kemudiannya terbabas dan menghempapnya serta menyebabkan mangsa tersepit di bawahnya.

Menurutnya, rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan menggunakan jentera pengorek untuk mengangkat jentera penggelek itu bagi mengeluarkan mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan yang tiba pada 3.15 petang.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, mangsa berasal dari Lorong Intan, Kampung Keda, Sungai Salleh di sini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 5:37pm
d