mutakhir

Lelaki menyamar polis ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman yang mengamuk dan menyerang anggota polis di sebuah kondominium di Damansara, di sini, ditahan polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengawal keselamatan di kondominium berkenaan yang memaklumkan mengenai seorang lelaki tempatan membuat kacau serta mengamuk di lokasi terbabit pada jam jam 2 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, kami membuat pemeriksaan terhadap lelaki tempatan berusia 29 tahun itu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

"Dalam kejadian itu, suspek bertindak agresif dengan menendang, menumbuk serta menarik ves seorang daripada anggota polis bertugas sehingga ia koyak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, suspek juga mengeluarkan kata-kata kesat serta mengugut anggota polis dengan menyatakan bahawa dirinya boleh membuat anggota polis berkenaan ditukarkan serta merta.

"Pemeriksaan pada badan suspek menemui satu peket lutsinar yang mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 3.6 gram disembunyikan di dalam kasutnya.

"Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja.

"Semakan pula mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah yang disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506/353/170 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001 dan Seksyen 15(1)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 6:47pm
d