mutakhir

Keluarga tahanan Penjara Alor Setar tidak perlu bimbang [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Keluarga tahanan Penjara Alor Setar di sini, diminta tidak terlalu bimbang berikutan penularan Covid-19 di dalam penjara itu yang semakin terkawal dan sudah berada di penghujung.

Pengarah Penjara Alor Setar Raja Mohd Amazon Raja Daud berkata, keadaan itu didorong usaha keras semua pihak terutama kakitangan penjara dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, selain itu pelbagai pihak turut tampil membantu meringankan beban yang dihadapi pihaknya sejak tercetusnya kes Covid-19 membabitkan Kluster Tembok sejak September lalu.

"Kami berterima kasih kerana ramai pihak prihatin dengan keadaan keluarga kakitangan penjara dan tahanan yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan sehingga 1 November ini.

"Keadaan terkini di dalam penjara adalah terkawal, semua pihak termasuk kerajaan negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) banyak membantu, jadi ahli keluarga di luar tidak perlu risau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Muassadah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di hadapan pos pengawal Penjara Alor Setar di sini, hari ini.

Menerusi program itu, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Tuan Kamarul Arief Tuan Soh menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Kedah Datuk Najmi Ahmad bagi diserahkan kepada pihak Penjara Alor Setar.

Mengulas lanjut, Raja Mohd Amazon berkata, keperluan di penjara berkenaan bagi menguruskan kes Covid-19 seperti pakaian perlindungan diri (PPE), cecair sanitasi dan pelitup muka masih mencukupi.

Sementara itu, Tuan Kamarul Arief berkata, pihaknya kini dalam misi pengisian bulan dakwah dan hadir membantu pihak terjejas di kawasan PKPD.

"Barangan keperluan yang diagihkan adalah membabitkan 300 keluarga di Penjara Pokok Sena dan masing-masing 150 keluarga di Penjara Alor Setar dan Penjara Sungai Petani dengan kos keseluruhan sebanyak RM30,000.

"Kita terima sumbangan ini daripada kerajaan dan rakyat dan kita pulangkan kembali kepada rakyat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 6:50pm
    d