mutakhir

PN kutuk kenyataan Macron

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron baru-baru ini yang umumnya bersifat menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan yang bersifat membakar sentimen dan meremehkan Islam itu tidak boleh diterima sama sekali dan harus ditolak oleh masyarakat tanpa mengira kerakyatan atau agama.

Katanya, amat mengecewakan seorang ketua negara anggota G7 memilih untuk bersikap cauvinisme dan tidak bertoleransi terhadap agama daripada mempamerkan pemahaman serta keterangkuman dalam kepimpinannya.

"Kenyataan Macron yang memfitnah Nabi (Muhammad SAW) selain mengeneralisasikan umat Islam sebagai pengganas dan puak pemisah, merupakan ucapan kebencian bagi menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sambil menanam kebencian dan permusuhan terhadap orang Islam.

"Dalam meluahkan pandangannya yang dangkal dan merendah-rendahkan tentang bagaimana orang Islam harus mengamalkan agama mereka serta menyelar Islam sebagai agama yang perlukan englightement (pencerahan) , Presiden Perancis itu secara langsung mendedahkan sikap Islamophobianya selain kejahilan dalam memahami isu sebenar yang memberi kesan kepada dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah kecaman balas dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Macron yang mempertahankan hak menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW, iaitu perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.

Terdahulu, dunia dikejutkan dengan tragedi pembunuhan seorang guru Sejarah, Samuel Paty yang dibunuh dengan dipenggal kepalanya di pinggir kota Paris, Perancis, 16 Oktober lalu.

Pembunuhan itu dilakukan seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa karikatur penghinaan kepada pelajarnya.

Namun, Macron mempertahankan tindakan guru berkenaan dan menganggap penghinaan guru itu sebagai hak kebebasan bersuara.

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 7:28pm
d