mutakhir

JAKIM kesal tindakan Charlie Hebdo

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kesal dengan tindakan provokatif akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo mahu menerbit semula karikatur Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, isu itu tidak sepatutnya ditimbulkan apatah lagi di saat umat Islam di seluruh dunia meraikan Rabiulawal iaitu bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, JAKIM menyokong penuh inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis surat khusus berhubung isu berkenaan kepada Duta Perancis di Malaysia sebagai teguran penuh hikmah terhadap tindakan tidak wajar pihak berkenaan.

"Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun 1442H bersamaan 2020M, JAKIM menyeru seluruh umat Islam khususnya di Malaysia agar sama-sama menghayati sirah dan sunnah Rasulullah SAW dengan sebenar- benarnya.

"Ini kerana, penghayatan terhadap sirah dan sunnah Rasulullah SAW akan menjadikan kita sebagai umat yang mulia, dapat dicontohi , dapat mengelakkan agama Islam difitnah serta dipandang serong oleh pihak yang memusuhi Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Abdul Aziz,JAKIM juga ingin menasihati umat Islam di Malaysia khususnya agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas dalam menangani isu berkenaan sehingga melakukan sesuatu yang di luar batasan agama dan undang-undang.

Katanya,ini kerana tindakan sebegitu dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara penganut berbilang agama.

"Sesungguhnya kehadiran Rasulullah SAW di atas muka bumi ini antara lain adalah untuk membawa kedamaian di tengah-tengah masyarakat yang hidup saling menumpahkan darah di antara satu sama lain.

"Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka.

"Bahkan Islam mengajar umatnya supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

"Sesungguhnya Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman samada sesama Islam atau dengan bukan Islam. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia," katanya.

Abdul Aziz berkata, bagi pihak JAKIM, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam agar terus berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara bagi menjamin persefahaman, hormat menghormati dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini sentiasa terpelihara.

"Semoga sambutan Maulidur Rasul tahun ini lebih membawa kedamaian kepada negara Malaysia khususnya dan dunia amnya selaras dengan tema Ummah Rabbani Negara Harmoni," katanya.

Berita berkaitan:

  • Dunia Islam kecam Macron
  • Himpunan anti-Perancis terbesar di Bangladesh
  • Malaysia kecam Charlie Hebdo terbit semula karikatur Rasulullah
  • Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 11:10am
    d