mutakhir

Suami isteri pesara wujudkan 'Infaq Mall' [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Suami isteri di Kampung Permatang Rambai, Penaga di sini, memanfaatkan persaraan mereka dengan mewujudkan 'Infaq Mall' bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Saad Yaacob, 64, dan isteri, Robiah Che Mat, 63, mempelopori usaha infaq ini sejak penghujung 2018.

Penubuhan Infaq Mall dicetuskan Saad yang juga bapa kepada tiga sebelum dia mengajak Robiah menyertainya.

Untuk rekod, Infaq Mall menyimpan pakaian, kasut, pinggan mangkuk, mainan terpakai selain pelbagai jenis makanan sumbangan masyarakat sekitar.

Saad berkata, pada awal pembabitan, mereka berdepan cabaran kerana ada yang tidak yakinm idea berkenaan akan berjaya.

"Ramai mengatakan apa yang kami lakukan tidak berbaloi apatah lagi aktiviti kebajikan tidak mendatangkan hasil.

"Kami bersabar kerana niat kami bukan mahukan pulangan namun mahu membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Saad, selepas melihat kejayaan Infaq Mall, ramai yang mula menyumbang dengan menghantar barangan terpakai selain makanan.

"Ramai juga yang menyumbang daripada segi kewangan, ia kami gunakan untuk menambah pembelian makanan untuk diagih kepada asnaf dan lain-lain," katanya.

Menurut Saad, dalam sehari, lebih 100 pasang pakaian terpakai diambil mereka yang memerlukan.

Pada masa sama, Saad bersyukur apabila usahanya bersama Robiah mendapat sambutan penduduk kampung yang turut serta menjadi sukarelawan.

"Setakat ini, ada 18 ke 20 sukarelawan yang membantu kami. Mereka ini kami namakan Skuad Infaq.

"Mereka ini saya anggap seperti keluarga sendiri kerana sanggup datang berkemas, membuat pengkelasan terhadap barang yang diterima yang mana ia bukan kerja mudah," katanya.

Saad berkata, Infaq Mall beroperasi setiap hari daripada jam 9 pagi hingga jam 11 malam mengikut kepada kelapangan.

Bagaimanapun, untuk pakaian terpakai, individu yang memerlukan boleh mengambilnya pada bila-bila masa memandangkan ia diletak di luar premis.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 1:18pm
d