mutakhir

'Tak sangka diberi pengiktirafan begitu tinggi'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, saya tak sangka akan diberi pengiktirafan begitu tinggi oleh kerajaan. Terima kasih.

"Ia membakar semangat saya untuk terus membantu seramai mungkin sama ada di dalam atau luar negara. Insya-Allah saya akan teruskan semua usaha ini dengan kerjasama semua pihak," kata Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican.

Beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul SAW 1442H/2020M sempena Maulidur Rasul tahun ini.

Katanya, penganugerahan itu sangat bermakna untuk insan kecil sepertinya dan berazam untuk melatih seramai mungkin khususnya golongan belia mengenai kerja-kerja kesukarelawanan.

Menurutnya, dalam tempoh 20 tahun lalu, dia bergerak solo dan terbabit dalam pelbagai isu membabitkan hubungan antarabangsa.

"Saya bergerak sendiri, modal sendiri dengan niat untuk membantu. Saya gesa belia sahut saranan saya untuk terbabit dalam kerja-kerja kemanusiaan. Lebih ramai yang dapat dibantu," katanya kepada Harian Metro.

Penganugerahan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Facebooknya malam tadi.

Sebelum ini, Mustapha menerima Anugerah Tokoh NGO Antarabangsa daripada Perdana Menteri Kemboja dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.

Antara sumbangannya termasuklah memberi bantuan kepada rakyat Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Laos sepanjang pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau juga bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan diplomatik dan hubungan persahabatan untuk pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada Februari 2019.

"Saya menawarkan diri untuk memberi ceramah atau perkongsian kepada mana-mana universiti di negara ini.

"Segala pengalaman yang ada akan saya kongsikan termasuk bagaimana menjadi badan bukan kerajaan yang berjaya.

"Bukan saja mengkritik kerajaan, tetapi bagaimana untuk berperanan membawa nama Malaysia di mata dunia, baik dari segi pentadbiran, sosio ekonomi dan hidup dalam kepelbagaian. Ini sangat penting," katanya.

Berita berkaitan

Dr Mustapha Ahmad Merican terima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 4:09pm
d