mutakhir

Ibu menangis setiap hari lihat lima anak ke sekolah

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Sebagai ibu, naluri saya tersentuh dan sedih melihat anak-anak menguruskan diri sendiri sebelum ke sekolah setiap hari," kata Janenah Mohd Kasim, 47, yang cacat kedua-dua kaki ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rusa di sini, tadi.

Menurutnya, kaki kanannya cacat sejak lahir manakala kaki kirinya dipotong paras lutut sejak setahun lalu.

"Apakan daya, lima anak saya berusia lapan tahun hingga 17 tahun yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Si Rusa dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa di sini, perlu menguruskan diri sendiri.

"Suami, Zaharudin Musa, 46, pula cacat mata kiri dan bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah restoran di Sunggala Gate di sini," katanya.

Menurutnya, suami akan pergi bekerja pada jam 4 pagi manakala anak-anak akan bersiap dan berjalan kaki ke sekolah sejauh hampir tiga Kilometer daripada rumah," katanya selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Janenah berkata, dia berterima kasih atas keprihatinan beberapa NGO yang datang menghulurkan sumbangan membabitkan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Bilal Muda, Al-Baasit dan MyFundAction.

"Pelbagai sumbangan yang kami terima seperti tilam, bantal, barangan makanan dan duit. Ini amat membantu kami sekeluarga.

"Selama ini saya turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 dan suami pula pemegang kad OKU menerima RM300 sebulan," katanya.

"Saya hanya mampu melihat anak-anak pergi ke sekolah dengan linangan air mata berikutan tidak mampu menyediakan sarapan pagi untuk mereka. Hanya wang saku dapat diberikan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, bantuan kecil itu diharap dapat meringankan beban keluarga itu.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini bolehlah melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 05103-29-00022457-2 (Janenah Mohd Kasim) atau menghubungi suaminya, Zaharudin ditalian 010-2158701 untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 4:21pm
d