mutakhir

Satu lagi sekolah di Negeri Sembilan `dijangkiti' Covid-19

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Wabak Covid-19 terus menular ke negeri ini apabila Sekolah Menengah Rendah Agama Chuah di sini, menjadi sekolah kedua ditutup di daerah Port Dickson susulan penularan Covid-19.

Menurut sumber, sekolah itu diarahkan tutup bermula hari ini sehingga 5 November hadapan selepas salah seorang pelajar lelaki tingkatan 2 disahkan positif Covid-19.

Tinjauan wartawan di sekolah itu tadi, mendapati kelihatan beberapa pelajar tingkatan dua dan ibu bapa mereka menunggu giliran untuk ke Klinik Kesihatan Bukit Pelanduk bagi membuat saringan Covid-19.

Salah seorang penjaga yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan semua pelajar tingkatan dua sahaja dikehendaki datang ke sekolah untuk membuat saringan semalam kerana dipercayai mempunyai kontak rapat dengan rakan mereka yang positif ujian saringan Covid-19.

Turut kelihatan kakitangan Pejabat Kesihatan Port Dickson yang membuat kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Mat Piah Md Jamin ketika dihubungi mengesahkan penutupan sekolah itu.

Sebelum ini media melaporkan, Sekolah Agama Rakyat (SAR) An-Nur Springhill di sini, diarah tutup tujuh hari bermula 22 Oktober selepas pengesahan kes jangkitan Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan menerusi satu surat rasmi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli kepada Guru Besar.

Bagaimanapun Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson memaklumkan tiada kes Covid-19 di sekolah itu (SAR An-Nur) melainkan salah seorang petugas mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dan sudah disahkan negatif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 4:38pm
    d