mutakhir

Buat laporan palsu takut dimarahi ibu hilangkan barang kemas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Gara-gara bimbang dimarahi ibunya kerana menghilangkan barang kemas, seorang wanita bertindak membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 33 tahun mendakwa menjadi mangsa samun di perhentian bas hadapan sebuah apartmen di Seksyen 17, di sini, semalam.

"Dalam laporan itu, mangsa mendakwa ada dua suspek melarikan gelang dan cincin miliknya.

"Siasatan awal mendapati suspek banyak membuat laporan polis sebelum ini memaklumkan dirinya disamun menyebabkan timbul rasa curiga terhadap laporan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya membawa suspek ke lokasi kejadian, namun dia tidak dapat menunjukkan bagaimana dan lokasi tepat kejadian itu berlaku.

"Suspek kemudiannya mengaku bahawa kejadian samun itu tidak berlaku dan laporan polis yang dibuat adalah palsu.

"Wanita itu memaklumkan dia membuat laporan palsu kerana bimbang dimarahi ibunya selepas gelang dan rantai diberikan kepadanya hilang," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan 182 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sesuka hati membuat laporan polis hanya untuk kepentingan peribadi semata-sama.

"Setiap laporan polis dibuat, pengadu adalah bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 4:40pm
d