mutakhir

Siapa buang minyak enjin terpakai dalam sungai?

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerja pembersihan pencemaran minyak hitam di alur air di Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Serdang, selesai sepenuhnya sekitar jam 11.30 malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor menerusi kenyataan di laman sosial Facebook memaklumkan kerja pembersihan itu dilakukan dengan menggunakan kontraktor panel pembersihan agensi berkenaan.

Jelasnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) turut bekerjasama melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa minyak enjin yang ditemukan di alur Sungai Balak itu.

"Selepas mendapat verifikasi di tapak oleh pegawai LUAS, kerja-kerja pembersihan hanya perlu dilaksanakan secara manual oleh pekerja awam memandangkan kuantiti minyak yang sedikit.

"Justeru, pihak LUAS menggunakan kontraktor panel pembersihan LUAS bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak kejadian.

"Kontraktor panel LUAS melaksanakan kerja-kerja pembersihan minyak enjin dan berdasarkan laporan, kerja-kerja pembersihan sudah selesai sepenuhnya sekitar jam 11.30 malam tadi," katanya.

LUAS turut memaklumkan pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk kesan di Sungai Balak dan Sungai Langat.

Terdahulu, LUAS dalam kenyataan kelmarin memaklumkan pihaknya menerima aduan pencemaran minyak hitam di lokasi terbabit pada jam 6 petang kelmarin.

"Hasil siasatan mendapati bahan pencemaran itu seperti sisa minyak enjin terpakai yang dibuang ke dalam alur air dengan alirannya memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat," katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 5:39pm
d