mutakhir

Pejabat KETENGAH tutup operasi 14 hari

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menghentikan operasi selama 14 hari selepas dua kakitangan disahkan positif Covid-19.

Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, operasi itu dihentikan sementara bermula kelmarin.

Menurutnya, penutupan itu membabitkan pejabat pengurusan di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS).

"Kita akan mengambil tindakan dan langkah-langkah perlu selaras dengan arahan kerajaan.

"Berikutan itu, semua kakitangan kami di ibu pejabat itu diarah untuk bekerja dari rumah, " katanya.

Tengku Nadzri berkata, penutupan itu dibuat selaras dengan notis perintah penutupan premis bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

"Sepanjang penutupan itu, kita akan melaksanakan kerja pembersihan dan sanitasi menyeluruh sebelum kakitangan dibenarkan kembali bekerja 9 November nanti," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sebuah Sekolah Kebangsaan SK dan dua buah Sekolah Menengah Kebangsaan SMK di Ketengah Jaya, Dungun diarah tutup.

Menurutnya, penutupan serta merta itu selama tujuh hingga 14 hari selepas terdapat pelajar yang disahkan positif Covid-19.

"Sekolah terbabit ialah, SK Kerteh 1, dan SMK Ketengah Jaya ditutup selama seminggu sementara SMK Teja Putera ditutup selama 14 hari," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 5:55pm
    d