mutakhir

6 lelaki Myanmar ditahan bergaduh kerana RM30

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang lelaki warga Myanmar dibelasah lima rakan senegara di Kampung Bagan Dalam di sini, jam 11.30 pagi tadi ketika mahu mengembalikan wang RM30 hasil jualan basikal kepada seorang daripada penyerang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, terdahulu, kira-kira tiga bulan lalu, mangsa yang berusia 29 tahun menjual basikal lama kepada suspek pada harga RM30 namun ia tidak boleh digunakan lalu dipulangkan semula kepada mangsa.

"Mangsa datang dari Bukit Mertajam ke perkampungan itu sebelum bertemu dengan suspek berusia 39 tahun bagi menyelesaikan isu penjualan basikal terbabit.

"Mangsa didakwa melengahkan pengembalian wang RM30 terbabit sehinggalah pagi tadi apabila dia datang untuk mengembalikan wang itu.

"Suspek bagaimanapun berang sebelum tercetus pergaduhan sesama mereka. Empat rakan suspek kemudiannya turut membelasah mangsa," katanya pada kenyataan.

Bagaimanapun, menurut beliau, kejadian itu dileraikan penduduk.

Katanya, keenam-enamnya cedera ringan selain luka.

"Suspek juga didapati mengeluarkan sebilah pisau ketika bergaduh namun dapat dirampas mangsa.

"Kami menahan kesemua suspek yang berusia 29 hingga 47 tahun. Mereka juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.

Menurut Noorzainy, pihaknya merampas sebilah pisau bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 8:30pm
d