mutakhir

34 pekerja berkemahiran sindiket perjudian ditahan mengikut POCA

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Seramai 25 lelaki dan sembilan wanita yang berkemahiran dalam perisian komputer ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 selepas didapati bekerja dengan sindiket perjudian untuk membina dan menyelenggarakan aplikasi perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka ini ditahan susulan serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 4.30 petang 2 Oktober lalu di sebuah premis perniagaan di Seksyen 13, di sini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan polis menahan 26 lelaki dan 11 wanita tempatan berusia 21 hingga 43 tahun, selain menemui peralatan yang digunakan untuk mempromosi dan menerima pertaruhan perjudian dalam talian.

"Turut dirampas adalah pelbagai peralatan 38 komputer riba, 33 monitor, 15 telefon bimbit, empat tablet, satu dekoder kamera litar tertutup (CCTV) dan empat modem.

"Hasil siasatan mendapati premis itu sudah beroperasi tiga bulan berselindung di bawah syarikat perisian komputer yang menghasilkan permainan dalam talian," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata,siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit membina aplikasi perjudian dalam talian dan menjualnya kepada syarikat perjudian yang beroperasi di luar negara.

"Syarikat terbabit bertanggungjawab membina dan menyelenggara aplikasi perjudian dalam talian mengikut kehendak pelanggan bermula jam 8 pagi hingga 7 malam dengan mensasarkan pelanggan dari Thailand di mana sudah membina 500 aplikasi itu.

"Mereka dibayar gaji bulanan RM2,500 hingga RM10,000 bergantung kepada tahap kemahiran dalam pekerjaan mereka," katanya.

Beliau berkata, mereka memiliki kelayakan pendidikan dari universiti dan kolej tempatan dalam bidang berkaitan perisian komputer.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4 (1) (g) akta sama dan Seksyen 4 (1) (h) akta sama.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada timbalan pendakwaraya 23 Oktober lalu dan arahan pertuduhan terhadap pemilik syarikat mengikut Seksyen 4 (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Susulan itu, katanya, 25 lelaki dan sembilan wanita yang bekerja dengan syarikat terbabit ditahan mengikut POCA semalam dan akan dibawa ke mahkamah untuk proses tahanan reman.

"Manakala seorang lagi wanita akan ditangkap selepas menjalani kuarantin Covid-19," katanya.

"Setakat ini, IPD Petaling Jaya sudah menahan 84 orang mengikut POCA atas pelbagai kesalahan jenayah di mana 12 orang membabitkan dua sindiket diambil tindakan kerana terbabit kegiatan perjudian dalam talian," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 12:28pm
d