mutakhir

Kebakaran angkara khianat

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur : Perbuatan khianat oleh pengelola tapak sampah haram disyaki menjadi punca berlakunya kebakaran di tanah milik kerajaan di Jalan Ulu Yam, Sungai Tua, Hulu Selangor, kelmarin.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, kebakaran yang bermula pada 4 petang itu menyebabkan kerosakan sebahagian besar tapak dan menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat pemantauan serta pemulihan ke atas tanah berkenaan.

Menurut Shamsul, dua jentera bomba dikejarkan ke lokasi tapak untuk mengawal kebakaran.

"MPS turut menghantar dua jentera untuk membantu kerja pembersihan dan satu laporan polis dibuat berkaitan insiden ini.

"Insiden itu berlaku selepas MPS mengambil tindakan merobohkan empat struktur binaan tidak kekal di tapak terbabit sewaktu operasi bersepadu diketuai oleh Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PDTG), MPS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta wakil dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tindakan itu selaras dengan Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran dan juga sitaan ke atas dua jentera yang turut ada di tapak itu oleh PDTG di bawah Akta Kanun Tanah Negara 1965," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPS.

Menurut Shamsul, selain sitaan termasuk ke atas barangan kitar semula, kerja pembersihan sampah juga dilakukan di tapak berkenaan oleh pihak MPS namun hasil lawatan yang dilakukan kelmarin mendapati berlakunya kebakaran berkenaan.

Katanya, MPS kesal dengan apa yang berlaku dan akan terus berusaha memastikan aktiviti tapak sampah haram di kawasan Selayang terus dibanteras dengan bantuan agensi kerajaan yang berkaitan.

"MPS juga ingin memberi amaran kepada individu yang menjalankan aktiviti ini bahawa tindakan akan diambil ke atas mereka selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 1:51pm
d