mutakhir

Pelancong Afrika Selatan dipenjara sehari

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Akibat mencuri pelbagai barangan kosmetik di sebuah pasar raya seorang pelancong lelaki warga Afrika Selatan dihukum penjara sehari dan didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Tawfiq Affandy Chin memerintahkan Siphe Mzayiduem, 31, menjalani hukuman itu bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara sebulan.

Mengikut pertuduhan, Siphe didakwa mencuri pelbagai barangan kosmetik termasuk gincu yang anggarannya bernilai RM337.20 di Aeon Wellness Quill City Mall, di sini, pada 5 petang, 20 Oktober lalu, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Siphe diwakili peguam Mohamad Zaidi Othman memohon hukuman denda minimum dan penjara sehari mengambil kira tertuduh direman beberapa hari dan anak guamnya juga menyesal serta berjanji tidak mengulangi kesilapan sama.

"Tertuduh adalah pelancong dari Afrika Selatan yang tidak dapat pulang ke negaranya kerana pandemik Covid-19. Pengakuan salah tertuduh hari ini telah menjimatkan masa mahkamah dan ini adalah kesalahan pertamanya.

"Barangan yang dicuri itu masih dalam keadaan selamat dan akan dipulangkan kepada pemilik asal. Tertuduh juga dalam proses untuk pulang ke negara asalnya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Di mahkamah sama, seorang bakal bapa, Mohammad Syahrul Akmal Mat Saat, 25, didenda RM1,700 atau penjara dua bulan, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas rakan sekerjanya, Mohd Farhan Yaacob, 34, dengan cara menumbuk muka lelaki itu.

Mohammad Syahrul didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Publika, Solaris Dutamas, di sini pada 9.15 pagi, 13 Disember 2019, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman berbentuk denda dalam lingkungan RM800 dengan alasan dia menanggung ibu serta isteri yang sedang sarat mengandung, manakala Nurilya Ellyna memohon hukuman setimpal.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 4:07pm
d