mutakhir

Tabah dalam duka

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Dalam apa jua keadaan, saya harus profesional dan pastikan kerja didahulukan selagi belum selesai ," kata penghantar makanan, Muhammad Hilmi Othman.

Muhammad Hilmi ,44 mendapat perhatian warganet sejak semalam selepas kisah telefon bimbitnya diragut penunggang motosikal ketika dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan tular di laman sosial.

Rata-rata warganet memuji sikap Muhammad Hilmi kerana tetap tenang menyempurnakan tugasannya walaupun selepas berdepan insiden itu.

Berkongsi pengalamannya, Muhammad Hilmi yang menetap di Sungai Sekamat, Kajang berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 9 malam pada Selasa lalu.

" Ketika itu, saya dalam perjalanan menghantar pesanan terakhir ke rumah pelanggan yang terletak di Alam Damai, Cheras.

" Saya sedar ada sebuah motosikal mengekori dari belakang tetapi tidak hiraukan dan terus menunggang seperti biasa.

"Kira-kira 100 meter sebelum tiba di rumah pelanggan, penunggang terbabit memintas daripada belakang dan terus meragut telefon bimbit saya yang diletakkan di sebelah cermin sisi ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa tiga anak berusia dua hingga 11 tahun itu cuba mengejar penunggang motosikal yang membawa lari telefon bimbitnya itu tetapi tidak berjaya.

Memikirkan tugasannya yang belum selesai, Muhammad Hilmi berpatah balik menghantar pesanan ke rumah pelanggan.

"Saya tidak nampak dengan jelas wajahnya kerana insiden berlaku begitu pantas cuma seingat saya, dia menunggang motosikal Y15ZR.

"Mungkin dia sudah lama mengekori saya memandangkan jalan di kawasan itu memang sunyi pada waktu malam.

"Hendak kejar peragut itu pun sukar kerana dia menunggang dengan laju dan memandangkan kerja belum selesai, saya dahulukan yang penting iaitu menghantar pesanan makanan ke rumah pelanggan sebelum pulang ke rumah ," katanya.

Menurut Muhammad Hilmi, insiden itu pertama kali berlaku terhadap dirinya sejak menjadi penghantar makanan sepenuh masa, Mac lalu.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu pelancong tetapi beralih bidang meneruskan hidup berikutan pandemik Covid-19.

"Sepanjang tujuh bulan menjadi penghantar makanan, tiada kejadian buruk berlaku tetapi pernah mendengar cerita rakan penghantar makanan lain menjadi mangsa.

"Sudah ditakdirkan, saya akhirnya terkena tetapi bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan melainkan kehilangan telefon bimbit," katanya.

Selepas kisahnya tular, Muhamamd Hilmi menerima hadiah telefon bimbit baru daripada seorang individu perseorangan yang tersentuh selepas mengetahui apa yang berlaku.

"Alhamdulillah, ramai yang prihatin malah semalam, saya menerima telefon bimbit pemberian seorang individu yang simpati selepas terbaca kisah saya di laman sosial.

"Pelanggan saya tempoh hari terbabit turut memberi saguhati dalam pertemuan, hari ini bersama rakannya yang memuat naik kisah saya di Facebook (Fb) dan selebihnya sumbangan daripada rakan terdekat.

"Terharu rasanya dan terima kasih saya ucapkan kepada semua .Diharap, keprihatinan masyarakat terhadap komuniti penghantar makanan atau sesiapa saja berterusan seandainya terjadi lagi insiden sebegini," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 5:30pm
d