mutakhir

Tak ulas politik, tumpu bela rakyat berdepan Covid-19 [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Muar: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak mengulas mengenai isu politik sejak menjawat jawatan berkenaan bagi membolehkannya menumpukan terhadap isu membela kebajikan dan membantu rakyat berdepan wabak Covid-19.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, tiada gunanya beliau sibuk berbahas dan mengeluarkan kenyataan politik di waktu rakyat sedang terhimpit dan terbeban dengan impak ekonomi berikutan wabak itu.

"Sejak jadi Perdana Menteri, saya memang tidak mahu cakap soal politik, jika saya cakap soal politik rakyat akan marah pada saya.

"Rakyat sibuk dengan hal Covid-19 sehingga ada yang berkata 'kami susah, dia (ahli politik) duduk sibuk cakap soal politik tak habis-habis.

"Siapa nak jadi Perdana Menteri lah, siapa nak jadi Timbalan Perdana Menteri lah, siapa nak jadi ketua bahagian.

"Masyarakat hari ini sudah meluat. Sebab itu saya elak buat pelbagai kenyataan politik, bukan saya tidak tahu, saya sudah hampir 40 tahun dalam politik, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ahli Parlimen Pagoh bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pagoh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 5:52pm
    d