mutakhir

Cempaka kongsi ilmu

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pengalaman hampir lima tahun bekerja di sektor minyak dan gas (O&G) tidak disia-siakan Lim Chia Wei yang kini aktif berkongsi ilmu dengan pengikut mengenai kisah kerjaya sebagai jurutera petroleum di Instagram (IG) miliknya, @cempaka.l.

Menerusi platform 'IG Story', Lim, 28, atau lebih mesra disapa Cempaka membuka ruang kepada pengikutnya untuk mengajukan pertanyaan berkaitan kerjayanya atau sektor O&G secara amnya.

Menurut gadis lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu, dia tidak keberatan berkongsi pengalaman dan ilmu ditimba kerana menyedari ramai dalam kalangan pengikut terutama wanita yang berminat menceburi sektor O&G tetapi masih samar-samar mengenai skop kerja sebenar di pelantar minyak.

"Sejak aktif di IG, saya kerap berkongsi gambar termasuk ketika berada di lapangan. Perkongsian itu mendapat perhatian mungkin kerana segelintir pengikut beranggapan pekerjaan saya menyeronokkan berikutan gaji diterima dan peluang bekerja di luar negara.

"Keseronokan itu tidak saya nafikan tetapi banyak juga cabaran bekerja di sektor O&G yang tidak diketahui ramai.

"Itu sebabnya saya membuka ruang pertanyaan di IG untuk berkongsi ilmu memandangkan kini bekerja dari rumah di Perlis," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi latar belakangnya, Cempaka yang bekerja di jabatan penggerudian syarikat Schlumberger (SLB) mengakui meminati dan memasang impian menjadi jurutera petroleum sejak di bangku sekolah lagi.

"Ayah adalah individu yang menanam minat dalam diri saya sejak kecil lagi malah amat meminati subjek Lukisan Kejuruteraan ketika mula mempelajarinya di tingkatan empat.

"Oleh kerana itu, saya menyambung pengajian di UTP sebelum menjalani latihan industri selama lapan bulan di gudang milik SLB.

"Rezeki saya diserap sebagai kakitangan tetap selepas tamat latihan industri apabila melepasi proses temuduga dan ujian kelayakan yang dihadiri ribuan calon lain.

"Ia menjadikan hanya saya seorang saja dalam keluarga yang bekerja dalam bidang ini kerana ayah menjalankan perniagaan, abang doktor gigi manakala adik di sektor kejuruteraan awam," katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Menurutnya, selain sokongan keluarga, minat dengan kerjaya dilakukan menjadi faktor dia bertahan dalam sektor O&G walaupun kerjayanya dimonopoli oleh golongan lelaki.

"Tugas saya menuntut ketahanan mental dan fizikal kerana sering dan ada kemungkinan dihantar menjalani kursus di luar negara.

"Antara pengalaman tidak dapat dilupakan adalah dihantar ke Oman selama hampir tiga bulan pada 2016 yang mana ketika itu, saya perlu belajar cara menggerudi gas di tengah padang pasir bersama puluhan kakitangan lelaki.

"Namun, minat mengatasi segalanya hingga hilang rasa gentar terutama jika ditugaskan bekerja di perairan," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 5:58pm
d