mutakhir

Tenuk 'manja' bersiar-siar dalam kampung

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: "Sejak dua tahun lalu, penduduk FELDA Pasoh Dua terutama di kawasan blok C di sini, sudah biasa melihat tapir muncul di kawasan perumahan mencari makan.

"Malah pada sebelah malam, tapir itu yang sudah jinak boleh didekati tanpa sebarang masalah, "kata penduduk, Khuzaifah Ali, 40.

Dia berkata, tapir itu hanya datang mencari makanan terutama buah-buahan pada waktu malam dan awal pagi.

"Penduduk percaya terdapat tiga atau empat ekor tapir tinggal di belukar berhampiran namun setakat ini kehadirannya tidak memberi masalah kepada penduduk.

"Dahulu pernah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( PERHILITAN ) memasang perangkap namun gagal menangkap tapir berkenaan.

"Disebabkan tapir ini tidak mengganggu penduduk, kami tidak ambil kisah dengan kehadiran tapir itu, " katanya.

Khuzaifah berkata, tapir yang dilihat kira - kira jam 7 pagi semalam lebih kecil dan dianggarkan seberat 200 kilogram berbanding tapir lain sebelum ini yang lebih besar.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kehadiran tapir itu.

Katanya orang ramai dinasihatkan tidak mencederakan tapir berkenaan berikutan ia adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176) dan dikategorikan sebagai terancam bawah Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 6:12pm
d