mutakhir

Sindiket ceti haram kini `lepak' banglo mewah

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Bukan beroperasi di pejabat atau kedai sebaliknya sindiket ceti haram di negeri ini dikesan berpindah dengan menjadikan kediaman mewah sebagai markas operasi.

Kegiatan haram itu bagaimanapun dibongkar polis selepas 12 lelaki warga tempatan yang menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (Ah Long) dan mengugut peminjam yang gagal membayar pinjaman ditahan di kawasan perumahan mewah di Seksyen 32 di sini, semalam.

Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Deputi Superintendan Zuhairie Mohammad Rashid berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor kira-kira jam 12 tengah hari.

"Operasi serbuan dilakukan susulan aduan awam berikutan kerap melihat penghuni keluar masuk ke rumah itu dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika serbuan dilakukan, semua suspek sedang melayari Internet dan tiada sebarang cubaan melarikan diri atau melawan.

"Semua yang ditahan berumur lingkungan 18 hingga 28 tahun. Tangkapan membabitkan seorang pengurus dan selebihnya pekerja. Polis masih menyiasat suspek utama sindiket itu," katanya.

Zuhairie berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negara ini menggunakan aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan sebagainya.

"Sindiket menyasarkan pelanggan yang memerlukan pinjaman wang dengan segera dan mudah serta kelulusan akan diperolehi dalam tempoh dua hari.

"Pinjaman yang ditawarkan bermula daripada RM 500 hingga RM 100,000 di mana peminjam hanya perlu mengemukakan slip gaji, bil utiliti, penyata bank untuk proses pinjaman dan tiada perjumpaan di antara peminjam dengan sindiket.

"Premis itu beroperasi sembilan jam sehari dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan setiap pekerja dibayar gaji bulanan sebanyak RM 2,500 ke RM2,800 sebulan," katanya.

Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Komputer (D10) Forensik juga hadir dan membuat analisa terhadap barang kes yang dijumpai serta dirampas bagi membantu siasatan.

"Siasatan juga mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah lampau, manakala semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951," katanya.

Katanya, kekuatan pasukan operasi membabitkan tiga pegawai dan 16 anggota D7 IPK Selangor.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 6:13pm
d