mutakhir

HSR dibina dalam masa terdekat - PM

Oleh Mohamed Farid Noh

Muar: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dijangka dibina dalam masa terdekat dan siap pada 2029.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek berkenaan dijadualkan mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan.

"Projek HSR dari Kuala Lumpur-Singapura itu dijangka menelan belanja lebih RM50 bilion.

"Waktu perjalanan dari Kuala Lumpur-Singapura hanya akan mengambil masa kira-kira 80 minit namun harga tiket masih belum diputuskan lagi.

"Ia akan mempunyai beberapa stesen hentian termasuk di Hab Bandar Universiti Pagoh sekali gus akan melonjakkan kegiatan ekonomi sekitar kawasan ini, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ahli Parlimen Pagoh bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini, hari ini.

Jun lalu, Malaysia dilaporkan tidak akan membayar apa-apa pampasan kepada Singapura dalam penangguhan projek HSR)kerana keputusan itu dipersetujui secara bersama.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengetuai Malaysia dalam perbincangan HSR dengan Singapura dilaporkan berkata, pasukan dari kedua-dua negara bermesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri lalu untuk berdialog lebih lanjut mengenai aspek teknikal projek mega itu.

Pada 31 Mei lalu, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek dua hala sehingga 31 Disember 2020.

Projek sepanjang 350 kilometer itu ditangguhkan sejak September 2018 dan sebelum ini dijadualkan disambung semula pada akhir Mei lalu.

Ini kali kedua projek HSR ditunda sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa membayar sejumlah S$15 juta (RM45.6 juta) kepada Singapura untuk menampung kos penundaan projek berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan kerajaan akan mewujudkan Zon Ekonomi Pagoh di atas tanah seluas 1,618.7 hektar dengan membawa masuk pelbagai syarikat gergasi antarabangsa.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Pagoh pada baru-baru ini dan ia bakal dibangunkan oleh Sime Darby Property.

"Usaha ini bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi.

"Perancangan untuk Pagoh bukan setahun dua tahun tetapi berterusan, justeru itu saya berharap rakyat dapat mengambil peluang ini," katanya

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 7:22pm
d