mutakhir

Derita lebih sejam dihempap pokok

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Seorang lelaki berusia 45 tahun terpaksa menahan sakit lebih satu jam selepas kakinya dihempap pokok yang ditebangnya di kebun di Kampung Pelagat, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, difahamkan lelaki itu masuk ke kebun bersama rakannya untuk mencari hasil hutan jam 3 petang.

"Ketika mereka berdua sedang menebang sebatang pokok sebesar kira-kira satu pemeluk, mangsa tidak sempat mengelak lalu dihempap pokok. Pokok itu menghempap kedua-dua kakinya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Tarmimi berkata, rakannya berusaha mengeluarkan mangsa tetapi gagal dan dia terpaksa meninggalkan lelaki terbabit bagi mendapatkan bantuan daripada orang kampung.

"Kami menerima panggilan kecemasan jam 7.50 petang dan sembilan anggota dari Balai Bomba Jertih segera ke lokasi kejadian.

"Lelaki itu berjaya dikeluarkan dari bawah batang pokok selepas lebih sejam anggota kami berusaha mengeluarkannya," katanya.

Katanya, mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Mangsa dilaporkan mengalami retak tulang di bahagian kaki kanan dan kebas dari paras pinggang ke bawah kerana terlalu lama ditindih pokok itu," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 9:22pm
d