mutakhir

Tekad berhenti sekolah sara dua adik [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang : "Tidak kisah kerja berat atau di bawah terik mentari sekali pun, saya akan usahakan demi dua adik. Melihat senyuman mereka dapat menjamah makanan sudah cukup buat saya berasa lega," kata Muhammad Amirul Rhaffiq Rohidayat, 17 yang tekad berhenti sekolah bagi menyara dua adiknya.

Mereka menumpang kasih di rumah datuk di Kampung Gual Arang, Gual Sitok, di sini, selepas ibu mereka ke Johor bagi mencari rezeki manakala bapa sudah meninggal sejak lima tahun lalu.

Muhammad Amirul kini tidak lagi bersekolah sebaliknya mengambil upah bekerja di sebuah kedai perkakasan (hardware) untuk menyara dua adiknya, Muhammad Raqqib Kharmidi, 13 dan Nursyaidatul Najeeha, 16, yang juga berhenti sekolah kerana masalah kewangan.

Sebelum ini mereka menetap di Johor sebelum dibawa pulang ke kampung oleh ibunya selepas tidak dapat meneruskan kehidupan di sana.

Muhammad Amirul berkata, dia mengambil keputusan untuk bekerja kerana memikirkan makan minum dua adiknya memandangkan datuk mereka juga bukan daripada keluarga berada.

"Setiap hari, jam 9 pagi, saya keluar bekerja dengan menunggang motosikal yang dipinjamkan oleh majikan dengan diberi gaji setiap dua minggu sekali, cukuplah untuk saya membeli lauk pauk dan memberi sedikit wang buat adik-adik.

"Malah, mereka berdua ada menyatakan hasrat untuk turut bekerja namun saya menghalangnya kerana mereka masih muda. Lagi pun, biarlah saya seorang yang bekerja selain berusaha mengumpul duit untuk memastikan mereka boleh kembali ke sekolah.

"Setiap kali melihat wajah adik-adik saya sebak, namun kami tidak menyalahkan sesiapa mungkin sudah takdir hidup begini, tetapi saya tidak mahu mengalah sebaliknya bangkit bekerja demi sesuap nasi," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kisah tiga beradik ini turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce Rantau Panjang, yang turut membantu dari segi kewangan dan barangan keperluan bagi mengurangkan beban mereka tiga beradik.

Muhammad Amirul berkata, dia berterima kasih atas bantuan yang diterima selain bersyukur ditemukan dengan majikan yang baik kerana banyak membantu dia sepanjang bekerja di sana.

"Harapan saya sekarang ini semoga dua adik dapat kembali bersekolah kerana saya sedar itu sahaja cara untuk merubah kehidupan kami sekeluarga. Saya sanggup berkorban selain yakin masih ada ruang pekerjaan untuk saya mencari pendapatan walaupun saya tidak dapat menamatkan persekolahan.

"Tidak kisahlah, kerja berat atau di bawah terik mentari sekali pun, saya usahakan demi dua adik. Melihat senyuman mereka dapat menjamah makanan sudah cukup buat saya berasa lega daripada kami terpaksa menahan lapar dan dahaga.

"Nasib baik, kami masih ada datuk yang beri kami tempat berteduh dan saudara mara yang selalu bertanya khabar," katanya yang berharap ada pihak membantu bagi memberi peluang dua adiknya bersekolah.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 11:34am
d