mutakhir

Berputih mata wang simpanan lesap

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Gara-gara mahu meminjam wang berjumlah RM15,000 untuk urusan peribadi, seorang pemandu Grab dan kerani sebuah syarikat mengalami kerugian lebih RM13,000 apabila mereka berdua ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Insiden bermula apabila pemandu Grab lelaki warga emas dari Bayan Lepas dan kerani wanita itu melayari laman sosial sebelum terlihat iklan pinjaman wang berlesen kononnya dibuat oleh pihak bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kedua-dua mangsa berusia 31 dan 63 tahun itu kemudian meninggalkan maklumat peribadi mereka untuk dihubungi.

"Mereka berdua masing-masing berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM15,000.

"Tidak berapa lama kemudian mereka berdua dihubungi individu kononnya ejen bank terbabit dan diminta membuat bayaran proses serta pengaktifan akaun terlebih dahulu.

"Dengan tidak berfikir panjang mereka berdua membuat bayaran seperti yang diarahkan yang mana lelaki terbabit memasukkan wang simpanannya berjumlah RM10,360 manakala wanita itu pula memindahkan wang miliknya berjumlah RM3,050 yang kesemuanya bernilai lebih RM13,000," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, lelaki itu akhirnya sedar ditipu selepas pihak bank yang dia hubungi memaklumkan tidak pernah mengiklankan sebarang tawaran pinjaman wang melalui media sosial.

"Wanita itu pula sedar ditipu apabila ejen yang dihubunginya berterusan meminta bayaran tambahan.

"Oleh itu, kedua-dua mangsa semalam tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 12:03pm
d