mutakhir

Mayat mangsa serangan buaya ditemui separuh badan

Oleh Erika George

Miri: Mayat warga Indonesia yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Bilat pada Selasa lalu ditemui hanya separuh badan di dalam parit besar berhampiran Kuala Baram jam 9.15 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat Muhammad Syopyan Nasution, 24, ditemui pekerja Sarawak Land Shipyard di dalam parit sebelum menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati hanya separuh saja mayat yang masih tinggal iaitu pada bahagian dada hingga kepala," katanya.

Menurutnya, pihak bomba percaya separuh lagi bahagian badan sudah dibaham oleh reptilia ganas itu dan diseret ke dalam parit terbabit.

Difahamkan ahli keluarga mangsa sudah melakukan pengecaman dan memaklumkan mangsa dipercayai diserang buaya di Sungai Bilat.

Bagaimanapun laporan polis hanya dibuat semalam.

Mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 12:41pm
d