mutakhir

Covid-19: Kluster Meldrum dikesan di Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jumlah jangkitan Covid-19 di negeri ini terus merekodkan peningkatan dengan satu kluster baharu dikesan semalam iaitu Kluster Meldrum.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia menjadikan jumlah kluster aktif di Johor sehingga semalam sebanyak empat iaitu Kluster Meldrum (enam kes positif ), Kluster Bayu (lapan), Kluster Kempas (42) dan Kluster Rinting (10).

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam melaporkan sebanyak sembilan kes jangkitan positif Covid-19 baharu iaitu empat kes dari kluster sedia ada dan lima kes daripada Kluster Meldrum.

"Kes indeks bagi Kluster Meldrum ialah seorang lelaki warga emas yang berusia 71 tahun yang dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada Selasa lalu.

"Susulan itu, pengesanan kontak dan ujian Covid-19 dijalankan dan mendapati tiga ahli keluarganya dan dua kontak rapat kepada ahli keluarga didapati positif wabak itu, Rabu lalu.

"Sehingga semalam, seramai 219 kontak dikenal pasti yang mana 138 individu adalah negatif dan 75 masih lagi menunggu keputusan ujian saringan.

"Kluster Meldrum ini membabitkan tiga daerah di Johor iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Tangkak dengan punca jangkitan masih di dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, Khamis lalu, daerah Johor Bahru diisytiharkan sebagai kawasan zon merah dengan 48 kes aktif Covid-19 ketika ini.

Susulan itu, katanya, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengumumkan penutupan semua institusi pendidikan seliaan kementerian di Johor Bahru dengan jumlah institusi yang terbabit sebanyak 376 buah.

"Penutupan institusi pendidikan ini adalah polisi KPM selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berhubung dengan keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Tindakan yang sama juga sudah diambil oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membabitkan penutupan semua Sekolah Agama Kerajaan Negeri , semua Tadika Agama Johor, sekolah darjah khas, Kolej Marsha Johor, Maahad Johor, semua pusat tahfiz dan madrasah yang berdaftar dengan JAINJ selain semua sekolah agama persendirian yang berdaftar dengan JAINJ termasuk kelas pengajian Al-Quran di bawah guru al-Quran JAINJ," katanya.

Vidyananthan menasihatkan masyarakat supaya tidak panik dengan situasi semasa penularan wabak Covid-19.

"Ini kerana keadaan semasa di negeri ini masih lagi terkawal walaupun Johor Bahru diisytiharkan zon merah, dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dilaksanakan kerana kebanyakan kes yang dilaporkan dari kluster sedia ada hanya tertumpu kepada penularan di dalam keluarga dan tempat kerja ahli keluarga mereka.

"Institusi tempat kerja yang terbabit diletakkan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian," katanya.

Beliau berkata, dijangkakan bahawa peningkatan kes dalam masa terdekat ini akan terus berlaku dengan aktiviti survelans yang dipertingkatkan.

"Diharapkan semua pihak dapat bertenang dan tidak menimbulkan panik dalam kalangan umum dengan menyebarkan maklumat yang kurang tepat.

"Beri laluan kepada jabatan yang berkaitan untuk melakukan tugas mereka tanpa halangan, supaya tidak menyukarkan mereka di dalam melakukan tugas dengan berkesan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 1:00pm
    d