mutakhir

Dakwaan itu tak benar - Dr Noor Azmi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Dakwaan petugas barisan hadapan di Sabah mengatakan kakitangan kesihatan di Semenanjung yang dihantar ke negeri itu 'tidak boleh' buat kerja adalah satu kenyataan tidak benar dan disangkal Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, petugas kesihatan dihantar ke Sabah melalui pemilihan khas diadakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan turut dinilai dalam beberapa aspek termasuk kesihatan, tahap kelayakan dan kepakaran mereka.

"Kita ada dua kategori iaitu kakitangan kontrak dan sukarelawan dan sebelum pilih, kita temu duga mereka, lihat kepakaran, tahap kesihatan, apa keistimewaan dan sebagainya barulah mereka dihantar ke sana (Sabah).

"Kerajaan amat berhati-hati dalam perkara ini supaya tidak mahu orang ramai dapat sakit semula.

"Justeru dakwaan sesetengah pihak mengatakan kakitangan kesihatan dari Semenanjung yang dihantar ke sana tidak boleh berkerja adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Jejak Kasih Menteri Besar dan Exco Pendidikan Negeri Perak di Jalan Gula, Selinsing, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria.

Dr Noor Azmi berkata, terdapat beribu-ribu sukarelawan hadir sesi temu duga untuk dihantar ke Sabah, namun hanya beberapa ratus sahaja dipilih.

Beliau berkata, bagi kakitangan kesihatan pula, KKM memilih dari negeri dan kepakaran berbeza-beza sama ada mereka terbabit dalam usaha kesihatan awam atau hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 2:20pm
    d