mutakhir

Maut langgar lori bersih jalan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangi melanggar bahagian belakang sebuah lori di Jalan Sentul Link arah ke Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 11.50 pagi itu, mangsa, Abdul Kazar Hussin, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan dipercayai ketika lori dipandu lelaki berusia 59 tahun secara perlahan sedang melakukan kerja pembersihan jalan.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa melanggar lori berkenaan dari arah belakang kanan.

"Akibat itu, mangsa parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa Unit Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 diperolehi.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2020 @ 6:28pm
d