mutakhir

Semoga Hafiy terus kuat... [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Usianya baru sembilan bulan, namun Muhammad Hafiy Affan Mohd Hasiif terpaksa menempuhi pelbagai dugaan selepas disahkan mengidap sindrom Pfeiffer sejak dilahirkan.

Penyakit yang dideritainya itu menyebabkan Muhammad Hafiy Affan yang juga dikategorikan orang kurang upaya (OKU) kelewatan pembangunan global (GDD) mengalami kecacatan pada muka dan bentuk tengkorak sehingga bebola matanya sedikit terkeluar berbanding bayi normal.

Lebih menyedihkan, Muhammad Hafiy Affan turut mengalami kesukaran untuk bernafas selain nafasnya berbunyi kerana saluran pernafasannya terlalu sempit selain kaki dan tangannya juga tidak boleh membengkok.

Menurut ibunya, Nor Akma Aini Azmee, 24, anak tunggalnya itu dilahirkan normal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dengan berat 3.2 kilogram (kg).

Katanya, ketika Muhammad Hafiy Affan berusia sebulan lebih didapati keadaan fizikal anaknya itu tidak normal seperti bayi lain selain mengalami masalah pernafasan.

"Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya mendapatkan rawatan di HRPZ II sebelum dirujuk di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya.

"Seawal usia dua bulan, Hafiy perlu menjalani pembedahan untuk membesarkan saluran pernafasannya yang sempit di PPUM.

"Dalam masa sama, doktor juga terpaksa menjahit sebahagian kelopak mata kiri dan kanan Hafiy bagi mengelakkan matanya terkeluar.

"Hafiy sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan ketika beusia lima bulan untuk memasukkan tiub di kepala hingga perut bagi mengalirkan lebihan cecair yang terdapat di kepalanya

"Walaupun Hafiy masih kecil, tetapi dia anak yang kuat dan tabah seolah-olah mengerti penderitaan yang perlu ditanggung," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Tebing Tinggi, Pengkalan Chepa di sini.

Nor Akma Aini berkata, setiap dua minggu atau sebulan sekali, Muhammad Hafiy Affan perlu ke PPUM bagi menghadiri temujanji dan berjumpa doktor pakar bagi mengetahui perkembangan kesihatan anaknya itu.

Menurutnya, berat badan Hafiy tidak seperti bayi seusianya apabila beratnya kini hanya 5.5 kg.

Katanya, setiap bulan dia dan suami, Mohd Hasiif Mohd Hasbi, 27, perlu memperuntukkan RM1,500 sebulan untuk membeli keperluannya termasuk susu dan lampin pakai buang selain kos ulang-alik setiap kali perlu menghadiri temujanji di PPUM.

"Untuk menampung kos keperluan Hafiy, saya yang sebelum ini mengambil upah menjahit berusaha menambah pendapatan dengan menjual makanan ringan kerana suami hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM500 sebulan.

"Bagi meringankan beban, ada ketikanya adik-beradik dan saudara mara terdekat turut menghulurkan bantuan kewangan memandangkan pada setiap bulan kami perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk keperluan Hafiy," katanya yang sebelum ini pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, Muhammad Hafiy Affan berkemungkinan akan menjalani beberapa pembedahan lagi termasuk di kepala dan telinga, namun masih lagi di peringkat perbincangan.

"Sebelum ini, doktor memaklumkan kedua-dua belah telinga Hafiy akan dipasang alat khas pendengaran kerana dia tidak mempunyai lubang telinga yang menyukarkannya untuk mendengar.

"Dalam pada itu, ketika usianya mencecah setahun, besar kemungkinan kerangka besi akan dipasang di kepala Hafiy bagi membetulkan semula tengkorak kepalanya," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 9:31am
d