mutakhir

1,995 PATI sudah diusir

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Seramai 1,995 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara dua hingga 60 tahun diusir dan dihalang memasuki daerah ini menerusi Operasi Cegah PATI (OCP) Laut bermula April sehingga Oktober lalu.

Ketua Staf Operasi Laut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Laksamana (M) Hamid Mohd Amin berkata, semua PATI dikesan ketika cuba memasuki daerah ini melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan batu 1 hingga batu 5 Jalan Apas, dekat sini.

Menurutnya, OCP Laut yang diaktifkan pada awal April lalu adalah operasi bersepadu khas membabitkan pelbagai agensi keselamatan yang ditubuhkan khusus bagi mengekang kemasukan PATI dari Indonesia dan Filipina.

"Bagaimanapun, tindakan kita pada masa kini ialah mengusir atau mengarahkan mereka berpatah balik ke negara asal masing-masing bagi mengekang dan memutuskan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan PATI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguat kuasa dalam OCP laut akan terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan daerah ini terutamanya kemasukan PATI dari Pulau Sebatik, Indonesia.

Katanya, tiga kapal dan lapan bot diatur gerak dalam operasi itu membabitkan kekuatan seramai sembilan pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat.

Dalam pada itu, Hamid turut menyeru kepada semua komuniti maritim pesisir pantai supaya menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan PATI melalui laluan haram kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.

"Komuniti maritim juga diingatkan supaya jangan bersubahat dengan tekong laut yang cuba menyeludup masuk PATI ke daerah ini," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 11:44am
d