mutakhir

Mesyuarat menjelang pembukaan Parlimen, esok...? [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Satu mesyuarat yang dihadiri pemimpin Perikatan Nasional (PN) sedang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa pemimpin parti komponen lain dilihat tiba di hotel berkenaan sejak 12 tengah hari tadi.

Antara yang hadir ialah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut hadir, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Maximus Ongkili, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Difahamkan, mesyuarat berkenaan diadakan untuk persediaan menjelang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14, esok dan pembentangan Belanjawan 2021, minggu ini.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyeru ahli Dewan Rakyat untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Sementara Wee ketika ditemui berkata, ia adalah pertemuan biasa oleh pemimpin parti sebelum sidang parlimen bermula.

Katanya, seperti sebelum ini, mesyuarat seperti ini diadakan untuk memberikan makluman kepada ahli dewan mengenai Aturan Urusan Mesyuarat di Parlimen.

"Biasalah setiap kali ada parlimen dan bajet, memang ada perjumpaan begini. Sehari sebelum (sidang Parlimen) memang ada perjumpaan seperti ini. Tidak ada perkara lain yang dibincangkan," katanya.

Sementara itu media difahamkan, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Whip parti di hotel sama.

Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadilah Yusof.

Turut kelihatan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Kelab Penyokong PN Datuk Seri Shahidan Kassim.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 2:52pm
d