mutakhir

Boikot barangan buatan Perancis - Exco Perak [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Perak menyarankan umat Islam negeri itu supaya memboikot barangan buatan Perancis susulan tindakan Presiden Emmanuel Macron yang mempertahankan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW sekali gus didakwa menghina Islam.

Pengerusi Jawatakuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, dengan cara memboikot sekurang-kurangnya berupaya melumpuhkan ekonomi negara itu yang terkenal dengan fesyen.

"Elakkan membeli barangan buatan Perancis di atas perbuatan biadap mereka, apatah lagi pada bulan Rabiulawal. Boikot sehinggalah mereka terkesan dengan apa yang kita lakukan ini.

"Insya Allah mereka (Perancis) akan kembali memperbaiki semula hubungan dengan masyarakat Islam dan menolak penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW," katanya yang ditemui pada Program Ijtimak Perkaderan Dakwah Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Bagaimanapun, Mohd Akmal tidak mahu masyarakat menyalah tafsir tindakan boikot itu sebagai menyokong keganasan berkait pembunuhan guru lelaki yang menunjukkan karikatur terbabit.

"Kadang-kadang orang anggap Islam ini ganas disebabkan membenarkan untuk memenggal kepala. Isunya bukan itu tetapi penekanan kita ialah (Presiden Perancis) mengiktiraf guru berkenaan yang sudah menghina Nabi Muhammad SAW.

"Kita tidak mahu itu terjadi kononnya atas dasar kebebasan bersuara. Oleh kerana itu, kita menyeru masyarakat supaya membeli barangan buatan Malaysia dan memboikot barangan Perancis sehingga mereka sedar atas perbuatan mereka," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 3:28pm
d