mutakhir

Cadang naik elaun guru agama kepada RM900

Oleh BERNAMA

Ipoh: Kerajaan negeri Perak berhasrat menaikkan elaun guru agama dakwah daripada RM400 kepada RM900 sebulan selepas tiada kenaikan sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kenaikan itu yang bakal dinikmati kira-kira 100 guru agama yang juga pendakwah di lapangan adalah selari dengan beban tugas mereka yang semakin mencabar.

"Mereka banyak melakukan kerja di lapangan, tidak mengira masa, hari demi memartabatkan syiar Islam di negeri ini. Jadi, saya rasa ia pengorbanan yang besar dan harus diberikan sedikit penghormatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di sini, hari ini.

Majlis perkaderan yang julung kali diadakan itu dihadiri 110 pendakwah dari seluruh Perak. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Menurut Mohd Akmal, pihaknya akan menyembah maklum cadangan itu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan sekiranya mendapat perkenan, kenaikan elaun baharu akan dinikmati bermula Januari 2021.

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, setakat ini cadangan penambahan elaun hanya membabitkan guru agama di lapangan, manakala yang lain masih dalam pertimbangan.

"Setakat ini kenaikan hanya melibatkan elaun pendakwah lapangan sahaja seperti mereka yang berdakwah ke perkampungan Orang Asli, tempat-tempat awam selain masjid.

"Untuk di masjid-masjid, sudah ada yang memberi fokus bagi program-program dakwah di sana menerusi pengajian kitab, forum dan kuliah yang dijalankan oleh guru-guru takmir," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 3:36pm
d