mutakhir

Seronoknya bermain bola tampar dalam sungai

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Kerap terkurung di dalam rumah akibat pandemik Covid-19 mencetuskan idea kepada sekumpulan belia apabila menyertai konvoi berkelah dan bermain bola tampar dalam sungai di Sungai Yu, dekat sini, hari ini.

Rombongan konvoi santai bermotosikal itu membabitkan 65 belia dan dianjurkan Majlis Belia Jajahan (MBJ) Gua Musang.

Yang Dipertua MBJ, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani berkata, konvoi sambil bersantai di sungai itu bertujuan menyegarkan minda belia terbabit.

Beliau berkata, ini kerana mereka banyak berkurung di rumah sejak penularan Covid-19 sejak 18 Mac lalu dan perlu menyertai program seumpama itu.

"Walaupun konvoi santai ini mendapat sambutan baik, peserta diarahkan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Paling menarik mereka mengambil bahagian dalam aktiviti bermain bola tampar dalam sungai dan sudah pasti ia dapat menyegarkan minda mereka," katanya.

Mohd Asmawi berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan kekangan untuk menganjurkan program lebih besar membabitkan lebih ramai belia.

Beliau berkata, konvoi santai itu kali pertama diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda dan selepas ini mungkin ada lagi aktiviti skala kecil untuk mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 4:14pm
    d