mutakhir

Dua sahabat susah senang bersama

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: "Hampir 20 tahun kami hidup bersama. Susah senang kami tetap bersama," kata Rozani Abd Kadir, 58, yang berkorban menjaga sahabatnya Sharifah Mohd Yatim, 56, di Kampung Parit Bilal di sini.

Rozani berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga Sharifah yang kini terlantar akibat sakit buah pinggang kronik.

"Sharifah disahkan menghidap penyakit itu pada 2002 dan menjadi semakin teruk 10 tahun lalu menyebabkan dia kini hanya terlantar di rumah.

"Oleh itu saya mengambil keputusan berhenti bekerja kilang untuk menumpukan sepenuh perhatian menjaga Sharifah," katanya ketika ditemui di kediamannya di di sini, hari ini.

Kata Rozani, dia menganggap Sharifah seperti adiknya dan menguruskan segala keperluan harian termasuk ketika sahabatnya itu mendapatkan rawatan susulan di hospital.

"Sebelum ini dia banyak membantu saya dan saya akan rasa bersalah jika tidak membantu dia ketika berada dalam kesusahan.

"Saya tidak kisah untuk menjaga sahabat baik saya sehingga akhir hayat memandangkan kami sudah lama hidup serumah selain menempuh pelbagai cabaran bersama-sama," katanya dia dan Sharifah tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Rozani berkata, Sharifah bergantung kepada wang pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diterimanya RM900 sebulan untuk menampung keperluan harian.

"Manakala kos rawatan untuk tiga kali setiap bulan hampir RM1,000, tetapi disebabkan faktor kewangan dia hanya mendapatkan rawatan apabila mempunyai wang yang cukup.

"Saya sendiri menyara hidup dengan menggunakan pengeluaran simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) selepas berhenti kerja," katanya.

Sementara itu, Wakil Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Penggaram, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya akan berhubung dengan agensi kebajikan bagi mengetahui status bantuan secara bulanan yang diterima oleh pesakit buah pinggang.

"Jika belum ada bantuan kita akan membuat permohonan dan sekiranya sudah ada bantuan kita akan cuba untuk membuat permohonan tambahan memandangkan kos rawatannya yang agak tinggi," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu dan meringankan beban Sharifah boleh berhubung dengan Rozani di talian 017-7228086.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 5:12pm
d