mutakhir

Ular tedung selar kunjungi rumah YB [METROTV]

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, di Bandar Utama, di sini, dimasuki ular tedung selar, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, isterinya, Nor Azila Nik Amat, 39, bernasib tidak dipatuk ular berbisa itu ketika menguisnya dengan kaki.

Mohd Syahbuddin berkata, ketika kejadian beliau berada di Pejabat Pusat Khidmat Adun Galas tidak jauh dari situ sebelum menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, sebaik sampai di rumah, isteri bersama tiga anaknya dalam ketakutan berikutan ular tedung selar itu berada di bawah kerusi di ruang tamu.

"Isteri pada mulanya ingatkan kasut anak berwarna hitam berada di bawah kerusi dan cuba menguisnya dengan kaki sebelum melihat ia bergerak.

"Dalam keadaan ketakutan itu, mereka menjerit meminta tolong dan saya segera memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Mohd Syahbuddin berkata, ular itu mungkin datang dari kawasan gua batu kapur berhampiran berikutan sekitar gua terbabit dibersihkan untuk tanaman pokok hiasan.

Beliau bersyukur apabila keluarganya terselamat dan ular tedung selar itu ditangkap anggota APM pada 3.30 petang.

Sementara itu, Pegawai APM daerah, Mohd Yusalmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada 3.10 petang dan tiga anggota diarah ke lokasi.

Katanya, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular tedung selar seberat lima kilogram dan panjang dua meter itu yang bersembunyi di bawah kerusi di ruang tamu.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 5:15pm
d