mutakhir

Arahan henti pembinaan jalan di Hutan Lentang

Oleh BERNAMA

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengarahkan syarikat pelesen pembalakan di kawasan Hutan Lentang di Bentong supaya membersihkan sisa penolakan jalan yang menjejaskan Sungai Kenoi di lokasi itu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, JPNP turut mengarahkan kerja pembersihan bagi pembinaan jalan keluar di kawasan lesen pembalakan itu dihentikan serta-merta untuk penilaian semula.

"Pada masa ini, kami hanya membenarkan pelesen untuk melaksanakan kerja mitigasi di Sungai Kenoi sahaja dan mereka mula melaksanakan kerja pembersihan Jumaat lepas," katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas isu penerokaan hutan di kawasan Hutan Lentang yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Beliau berkata, isu itu sebenarnya hanya berkaitan aktiviti pembinaan jalan untuk ke kawasan lesen pembalakan jenis Tanah Milik yang terletak dalam daerah Bentong, apabila pemilik lot terletak tidak jauh dari kawasan lesen itu tidak berpuas hati kerana mendakwa pelesen mencemarkan kawasan Sungai Kenoi, di samping mereka meragui kelulusan lesen pembalakan itu.

Menurutnya, lesen pembalakan itu mendapat kelulusan JPNP untuk memulakan kerja pada 15 Oktober lalu dan pelesen memaklumkan mereka perlu melalui Sungai Kenoi dengan jentera, kerana kayu yang akan digunakan untuk membina jambatan terletak di kawasan lesen.

"Selain kelulusan JPNP, pelesen mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong untuk membina jalan melintasi kawasan sungai itu dengan beberapa syarat perlu dipatuhi.

"Jalan ini terletak di atas tanah kerajaan dan tanah milik, dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada 27 Oktober lalu," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 8:18pm
d