mutakhir

Warga emas seronok dapat tilam [METROTV]

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Batu Kikir: "Sedapnya dapat tidur atas tilam," kata warga emas, Mohd Ghazali Ibrahim, 80, yang gembira sebaik menerima sumbangan itu daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya, semalam.

Mohd Ghazali tinggal bersama isterinya, Zainab Jais, 81, dan anak lelaki yang dalam kategori orang kurang upaya lembam, Kamalruzaman Mohd Ghazali, 45, di sebuah rumah usang di Kampung Pajah, Tengkek, di sini.

Keluarga ini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 dan Baitulmal RM200 sebulan.

Mohd Ghazali berkata, sudah bertahun-tahun dia tidur di atas katil yang hampir reput dan beralaskan papan.

"Saya suka sangat dapat tidur di atas katil yang ada tilam, dapatlah saya tidur lena.

"Sudah lama saya tak tidur atas tilam kerana isteri bimbang saya kerap terkencing," katanya yang terpaksa memakai lampin pakai buang sebelum tidur.

Menurut Zainab, suaminya tidak mampu berjalan dan hanya bergerak menggunakan tangan manakala matanya tidak berapa nampak akibat menghidap pelbagai jenis penyakit sejak beberapa tahun lalu.

"Suami dan anak hanya bergantung kepada saya untuk masak dan kami makan apa yang ada kerana anak lelaki, Kamalruzaman hanya mampu menguruskan dirinya.

"Setiap hari saya perlu ke kedai untuk membeli barangan makanan untuk dimasak dengan berjalan kaki sejauh 1.6 kilometer dan kalau ada sumbangan sebuah basikal, boleh juga sebab dapat ke kedai dengan cepat.

"Kami sudah biasa hidup susah dan sangat berterima kasih kepada yang datang ini (Perkasih N9) kerana banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, dia mempunyai seorang lagi anak perempuan, Noraini Mohd Ghazali, 44, yang sudah berkahwin dan tinggal di Melaka.

"Setahu saya dia tidak bekerja dan ada sekali-sekala dia balik ke sini menjengok kami.

"Saya sentiasa berdoa agar dia bahagia dengan kehidupannya bersama keluarga dan saya faham keadaannya," katanya yang turut menerima set telekung untuk solat.

Zainab berkata, Perkasih N9 menyumbang dua set katil, tilam, bantal, selimut dan barangan dapur serta membantu mengemaskan rumahnya.

"Terharu saya kerana ramai yang datang membantu dan banyak menyumbang untuk kami sekeluarga, tak tahu macam mana nak balas budi mereka semua, hanya kepada Allah saya berserah.

"Saya harap mereka ini selalu datang kerana saya lihat suami pun nampak gembira dapat katil, tilam serta kerusi roda," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9 Norfadilah Mansor berkata, pihaknya menghantar set kelengkapan tidur untuk keluarga terbabit.

"Ketika kami mengemaskan katil lama yang hampir reput, saya lihat tempat tidur Mohd Ghazali amat uzur beralaskan papan yang disusun tanpa tilam.

"Sebelum ini kami sudah menghantar kerusi roda untuk kegunaannya bergerak kerana dia tidak boleh berjalan dan hanya mengensot menggunakan tenaga tangan.

"Kami juga berusaha untuk membelikan sebuah basikal baharu untuk kegunaan Zainab bagi kemudahan untuk ke kedai membeli barangan makanan," katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 8:42pm
d