mutakhir

Covid-19: Ekonomi, perubahan gaya sosial punca tekanan emosi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Desakan ekonomi dan perubahan mendadak gaya sosial kehidupan ketika pandemik Covid-19 ketika ini menjadi antara punca tekanan emosi dalam kalangan masyarakat.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Saad berkata, masyarakat seharusnya memastikan menguruskan tekanan dengan lebih baik ketika bergelut ketidaktentuan hidup agar ia tidak memberi impak negatif kepada mereka dan orang sekeliling.

Menurutnya, kegagalan menguruskan tekanan itu boleh menyebabkan berlakunya tindakan di luar batas kemanusiaan mungkin sehingga menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat.

"Pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang tertekan kerana kemerosotan ekonomi sehingga kehilangan kerja dan pendapatan.

"Keadaan ini menyebabkan mereka yang tidak dapat menguruskan tekanan dengan baik akan bertindak di luar jangkaan.

"Impak negatif ini menyebabkan kesan jangka panjang kepada seseorang itu kerana kegagalan mereka menguruskan tekanan dengan betul," katanya kepada Harian Metro.

Dr Fauziah berkata, bagi menguruskan tekanan masyarakat perlu mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan terdekat agar tekanan itu dapat dikurangkan.

Katanya, apabila tekanan dapat dikurangkan maka tindakan luar jangka dapat diatasi dan memberikan kehidupan yang lebih baik.

"Jika aktiviti sosial terpaksa dikurangkan kerana prosedur operasi standard (SOP) maka kita perlu cari alternatif lain bagi meredakan tekanan.

"Jangan hanya berkurung sendirian tanpa aktiviti kerana ia hanya akan meningkatkan tekanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 2:07pm
    d