mutakhir

Mujahid dipanggil ke Bukit Aman [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman pada jam 5.30 petang ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat terhadap beliau pada Mac lalu.

"Ya, (diminta hadir beri keterangan) pada 5.30 petang ini.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Mujahid menerusi akaun Facebook miliknya hari ini, mengesahkan dipanggil ke Bukit Aman bagi diambil keterangan.

Beliau turut meminta pengikut Facebooknya mendoakan semoga semuanya dipermudahkan.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat ke atas Mujahid dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berhubung kenyataan mereka mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Laporan itu dikatakan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada Mac lalu.

Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 5:04pm
d