mutakhir

834 kes baharu, 2 kematian [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kes baharu jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini kekal tiga angka apabila mencatatkan 834 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 33,339 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu itu, tiga kes membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala selebihnya adalah kes penularan tempatan.

Beliau berkata, Sabah kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu 503 kes.

"Negeri lain iaitu Selangor (129 kes), Labuan (105), Pulau Pinang (21), Kuala Lumpur (20), Negeri Sembilan (16), Sarawak (14), Johor (8).

"Selain itu, Putrajaya (6), Kedah (3), Perak (3), Kelantan (2) dan Pahang (1).

"Ia menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan ketika ini adalah 9,968 kes dan mereka sudah diasingkan serta dirawat di hospital," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, seramai 91 pesakit positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, sebanyak 900 kes pulih Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 23,120 kes atau 69.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia mencecah 251 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Kes kematian ke-250 (kes ke-16,576) membabitkan lelaki tempatan berusia 88 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit Osteoartritis. Beliau meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sabah.

"Kes kematian ke-251 (kes ke-14,013) membabitkan wanita berusia 75 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia. Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 6:56pm
    d