mutakhir

Dr Noor Hisham nafi kelengkapan tak cukup [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan bahawa kelengkapan kesihatan bagi merawat Covid-19 di Sabah tidak mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM sudah bersedia pelbagai sudut bagi menghadapi gelombang ketiga virus berkenaan.

Menurutnya, kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dan kapasiti peralatan juga ditambah baik daripada sebelum ini.

Beliau berkata, sebagai persediaan awal juga, KKM sudah menghantar petugas barisan hadapan ke Sabah sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan September lalu.

"Dakwaan itu tidak benar kerana kita lebih bersedia untuk menghadapi gelombang ketiga ini.

"Peralatan seperti pakaian perlindungan diri (PPE) juga sudah dihantar menerusi perolehan kecemasan berjumlah RM25 juta selain kapasiti katil di hospital juga ditambah," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, setakat ini KKM sudah menyediakan 8,539 katil di seluruh Sabah untuk rawatan Covid-19 dan kapasiti penggunaannya sudah 60 peratus.

Katanya, bekalan PPE juga boleh bertahan sehingga 29 hari, manakala PPE sumbangan kerajaan Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh digunakan untuk tempoh 90 hari lagi.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sudah menaik taraf Hospital Semporna sebagai pusat rawatan Covid-19 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Hospital Tawau.

"Pesakit di Semporna kini boleh dirawat tanpa perlu pergi ke Hospital Tawau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 7:16pm
    d